Mak, terlalu bosan rasanya duduk membilang hari. Sudah hampir sepuluh bulan Emak pergi. Rasanya baru semalam Emak peluk saya kan? Sejuk syahdu masih terasa lagi... Mak tau tak, itu lah pertama kali Emak peluk anak Emak yang nakal ni sejak saya dewasa? Dan itu juga terakhir kalinya. Rupa-rupanya Emak dah tahu, Emak nak pergi jauh, nak tinggalkan anak-anak Mak, nak tinggalkan dunia fana ini dan Mak semacam sudah bersedia.
Seminggu sebelum tu...
Emak dah menganyam tikar mengkuang tiga helai. Kakak kata sampai ke pagi Emak anyam tikar tu. Tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih. Kakak pun rasa hairan, sebab Emak tak pernah buat begitu. Emak pasang radio kecil di sebelah Emak, tapi Emak seolah-olah tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran Siam, kadang-kadang siaran Indonesia. Emak terus tekun menganyam.
Rupa-rupanya tikar yang telah Emak siapkan itulah yang kami digunakan untuk mengiringi Emak ke kuburan.
Emak sapu sampah di sekeliling rumah bersih-bersih. Emak jemur karpet-karpet. Selepas tu Emak ubahkan sofa ke tempat lain. Emak biarkan ruang tu kosong dan di situlah jenazah Emak diletakkan. Paling menarik sekali apabila Emak beritahu, di mana Mak simpan semua duit dan barang kemas Emak. Kata Mak, ada di dalam almari, dalam dalam beg, dalam ASB, dalam Tabung Haji. Emak cakap tak berapa cukup lagi, ada dalam gulung tikar...Waktu tu Mak perasan tak? Saya gelak 'sakan' bila Emak beritahu duit, Emak simpan duit dalam gulung tikar? Saya kata Emak ni 'fesyen' lama la!
Emak jawab, "Mak ni memang 'pesen' lama laaa..."
Emak gelak. Saya gelak. Bahagianya saat itu, Mak...
Mak,
Hari Sabtu 18/08/1999 jam 3 petang, Mak tiba-tiba sakit perut. Malam tu, saya sampai dari KL. Emak dah dalam kesakitan. Kakak dan abang kat kampung, semua dah pujuk. Emak tetap tak mahu pergi hospital dan cuma tinggal giliran saya sahaja yang belum pujuk. Mak kata tak mahu tinggal dalam hospital! Tapi saya berkeras juga pujuk.
"Nanti di hospital ada doktor, ada ubat untuk Mak. Di rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut saja..."
Mak tetap tak bersetuju. Emak memang degil! Tak salah, anak Mak yang ini pun mengikut perangai mak tu. Tapi akhirnya bila melihat keadaan Mak makin teruk, sakit perut sampai nak sentuh perut pun sakit, kami adik beradik sepakat hantar juga Emak ke hospital. Mak, Ampunkan kami semua. Kami nak Mak sihat. Kami sayang Mak. Kami tak mahu Mak sakit. Kami terpaksa juga hantar Mak ke hospital. Ampunkan kami ya Mak? Malam itu abang bawa Mak ke hospital dan itulah pertama dan terakhir kali mak naik kereta saya. Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya Mak, apabila saya menyuarakan hasrat nak beli kereta.
sumbangan - pyan
Monday, June 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment